PANDUAN MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN TEKSI
Kenal pasti jalan yang ingin dilalui dan jumlah tambang
Seperti mana anda merancang perjalanan, anda juga boleh mengenal pasti jalan yang ingin anda lalui. Anda boleh bertanyakan pekerja di hotel tempat anda menginap, orang tempatan, pegawai polis peronda, pekerja-pekerja pengkhidmatan penghantaran makanan atau pun posmen. Anda boleh mendapatkan maklumat mengenai jumlah tambang yang sepatutnya dengan menghubungi persatuan-persatuan teksi negeri.
Bawa peta, pensil dan kamera.
Sekiranya anda baru kali pertama pergi ke destinasi tersebut, anda boleh mencatatkan jalan yang digunakan oleh pemandu teksi sebagai rujukan dan langkah berjaga-jaga. Mengambil gambar mercu tanda juga adalah langkah yang bijak untuk memudahkan anda mengingati jalan yang anda lalui.
Sediakan wang kecil secukupnya
Tidak memiliki wang baki adalah salah satu alasan yang sering digunakan oleh pemandu-pemandu teksi yang tidak bertanggung jawab untuk mendapatkan keuntungan. Sekiranya anda membayar tambang dengan wang secukupnya, anda telah melindungi diri anda daripada pemandu-pemandu teksi yang suka mengambil kesempatan ini.
Pilih teksi yang menggunakan meter
Segelintir pemandu teksi yang degil masih enggan menggunakan meter dan mengenakan bayaran sesuka hati. Anda perlu bertanyakan kepada pemandu sama ada teksi tersebut menggunakan perkhidmatan meter atau tidak terutamanya apabila anda kali pertama tiba ditempat tersebut.
Bincang harga terlebih dahulu
Sekiranya kawasan tersebut memang tiada perkhidmatan teksi bermeter, pastikan anda berbincang dan mendapatkan harga yang bersesuaian sebelum menaiki teksi. Elakkan bertanya harga tambang setelah anda tiba ke destinasi.
Simpan resit
Resit diperlukan sebagai tuntutan dan sebagai bukti sekiranya berlaku kesalahan. Pastikan anda memeriksa semula resit anda pada penyata bulanan sekiranya anda membayar menggunakan kad kredit.
Pilih untuk duduk di kerusi penumpang belakang
Rompakan dan pencabulan kadang kala boleh berlaku tanpa kita duga. Memilih untuk duduk di kerusi penumpang bahagian belakang adalah pilihan yang bijak terutamanya sekiranya anda adalah penumpang wanita dan bersendirian. Anda berpeluang untuk melindungi diri daripada tindakan yang tidak diingini oleh pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab.
Keluar apabila keadaan meragukan
Sewaktu membuat perjanjian, sekiranya pemandu teksi tidak bersetuju dengan bayaran yang sepatutnya dan meminta anda membayar lebih, segera keluar daripada teksi tersebut dan cari teksi lain. Anda sentiasa memiliki hak untuk membuat pilihan. Perhatikan meter ketika dalam perjalanan, dan sekiranya meter bergerak terlalu pantas dan meragukan, beranikan diri anda untuk meminta pemandu teksi berhenti dan anda perlu segera keluar dari teksi tersebut. Pemandu teksi tersebut berkemungkinan telah mengubah suai meter untuk menipu penumpang.
PROSEDUR ADUAN
Aduan tentang perkhidmatan teksi boleh dikemukakan dengan cara menulis, telefon, faks, ataupun melalui e-mel dan disertakan dengan nama dan alamat lengkap pengadu. Dokumen-dokumen sokongan harus disertakan sekiranya ada untuk membuktikan kesahihan seperti resit, invois pembelian pakej, jadual lawatan (itinerary) dan sebagainya.MAKLUMAT DIPERLUKAN
Sila pastikan maklumat penting berikut disertakan dalam aduan anda:
• Nama penuh Pengadu dan Nombor Kad Pengenalan
• Nama Pemandu
• Nombor kenderaan
• Tarikh Aduan
• Maklumat Aduan
• Maklumat saksi selain anda yang boleh dihubungi
Aduan berhubungkait dengan perkhidmatan teksi boleh dirujuk kepada:
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan LPKP:
Web: http://e.kpun.gov.my/teksi/
Tel: 03 2698 5022,Fax: 03 2692 5096
Aduan & Maklumbalas Pengguna Teksi: http://www.kpun.gov.my/borang/maklumbalas.php
Semakan Maklumat Teksi: http://e.kpun.gov.my/teksi/info.htm
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Malaysia (NCCC)
No.1D, Bangunan SKPPK, Jln SS9A/17, 47300 Petaling Jaya, Selangor.
Web: www.nccc.org.my , E-MAIL: nccc@nccc.org.my
Tel: 03 7877 9000, Fax: 03 7874 8097, SMS: 013 692 3826
sumber : Konsumerkini
cilok dari : http://www.benashaari.com/2010/10/tips-nak-guna-teksi.html
1 ulasan:
What a great resource!
Catat Ulasan